Photos To Share With Friends Around The World

Saturday, June 20, 2009

Sebagai meneruskan catatan perjalanan / progress blog ini, saya maklumkan pada 18 Jun 2009 seorang lagi telah masuk ke email saya : popjagung@yahoo.com beliau adalah Pearl Ronaldine Dickman. Beliau kata tak ingat rupa saya tapi masih ingat nama saya yang unik. Sebenarnya saya mengingati beliau sebab nama unik juga. Seingat saya ada dua orang pelajar perempuan yang namanya saya masih ingat sebab nama orang Inggeris. Pearl Ronaldine Dickman dan Jannifer Danker. Terima kasih kerana Pearl sudi response kepada email saya.

Seorang lagi ialah Foo Tzeh Chih (steven) telah menghantar sms kepada saya. Walaupun sms nya ringkas saja tapi sudah mencukupi bagi saya.

Sambil itu saya juga sedang berusaha untuk menjejaki teman-teman melayu. Saya telah cuba menghubungi Zulkfli Salleh yang berada di Pulau Pinang tapi malangnya beliau pada masa ini sedang berada di Negara China. Mungkin atas urusan tugas atau melancong tak tahulah pulak. Tapi maklumat ini diberikan oleh orang gajinya. Nama-nama yang masih saya ingati seperti Tumpang, Hanafi, Shahadan, Ali Mohammad, Sapuan Poniran, Jais Bugal dan ramai lagi lah. Kalau ada sesiapa yang mengetahui atau mengenali mereka harap dapat menghubungi saya.

Disini juga saya merayu agar teman-teman kalau ada masih menyimpan gambar-gambar semasa sekolah dulu boleh tak tolong scan dan hantar ke alamat email saya. Sebagai meningkatkan lagi usaha saya ini saya sedang membangunkan bank gambar melalui Picasa Web Album yang nantinya membolehkan kawan-kawan boleh access gambar/photo yang disimpan disana. Selain itu saya juga telah mengujudkan 'Facebook' yang akan saya gunakan bagi tujuan pencarian seterusnya.

Wednesday, June 17, 2009

Hari ini ada perubahan positif. Pagi ini, orang yang cuba dihubungi semalam telah menghubungi saya. Beliau adalah Rohani Yusof. Beliau kini tinggal di Pajak Song, Kepala Batas, Pulau Pinang dan bertugas MARDI. Beliau menyangka saya masih bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang tapi sebenarnya saya sekarang bertugas di Wisma Kastam Ipoh, Perak. Seronok dapat mengetahui sedikit sebanyak perkembangan hal teman lama. Jika ada peluang nanti saya akan berkunjung kerumah beliau itupun jika diizinkan. Kebetulan anak saya sedang belajar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang yang letaknya tidak jauh dari rumah beliau.

Seorang lagi sahabat juga menghubungi saya. Kali ini S.Vijayaretnam. Beliau sekarang berada di Kluang, Johor. Seorang peguam rupanya dan mempunyai firma sendiri. Tahniah. Oleh kerana Kluang tidak jauh dari kampung saya di Felda Bukit Permai, Layang-Layang, mungkin satu masa nanti kami akan bertemu juga.

Malam tadi juga Foo Tzeh Chih (Steven) juga menghubungi saya melalui sms tapi belum berkesempatan untuk bertanya khabar dengan lebih lanjut.

Tuesday, June 16, 2009

Berdasarkan alamat email dan nombor telefon yang dibekalkan oleh Brother Wong Yun Keong saya telah cuba menghubungi dua orang hari ini. Mereka yang saya maksudkan ialah Rohani Yusof yang mengikut alamatnya berada di Pulau Pinang dan Wong Sow Jee yang berada tidak jauh dari rumah saya di Taman Ipoh Jaya, Ipoh. Namun kedua-duanya tidak menjawab panggilan dari saya. Mungkin nombor telefon yang dibekalkan itu tidak uptodate.
Saya masih berharap kalau ada dikalangan teman-teman yang tersenarai dalam senarai alamat itu tahu nombor terkini harap hubungi saya melalui email saya di blog ini.

Satu lagi yang saya harapkan ialah kalau ada diantara teman-teman yang mengenali saya dan telah sudi melayari blog saya ini response lah sikit. Mungkin boleh masuk melalui email atau melalui ruangan comment yang disediakan. Saya akan amat merasa berterima kasih yang tidak terhingga.

Monday, June 15, 2009

Pada tanggal 15 Jun 2009 pada jam 12.34pm saya telah dikejutkan dengan satu panggilan telefon dari sesaorang yang telah hampir 33 tahun tidak diketahui khabar berita. Beliau memperkenalkan diri sebagai Wong Yun Keong. Saya amat terharu dengan kesungguhan beliau mencari 'contacts' teman-teman persekolahan terutama yang belajar pada tahun 1977 di Sekolah Menengah Dato' Haji Hassan Yunus , Renggam, Johor.

Sungguhpun kami berbual agak panjang lebar juga bertanyakan khabar antara satu sama lain namun dihati kecil saya amat merasa malu. Malu kerana masih tidak dapat 'recall' sahabat yang bernama Wong Yun Keong ini. Tapi beliau dengan selamba mengatakan masih mengenali suara saya. Terus terang saya katakan dan saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat mengingati rupa beliau. Saya harap brother Wong Yun Keong tak berkecil hati.

Dalam perjalanan pulang dari pejabat sekali lagi beliau menelefon saya mengatakan yang beliau telah 'upload' kan gambar-gambar kenangan semasa 'reunion' pada tahun 2008 dan 2009. Melihatkan gambar-gambar tersebut saya berasa cemburu juga kerana tidak dapat bersama mereka. Harap-harap selepas ini saya akan berpeluang sama.

Tujuan saya mengujudkan 'blog' ini hanyalah satu. Ingin mencari seramai mungkin teman-teman sepersekolahan dulu. Harapnya dapatlah kita bersatu di Laman Nostalgia ini.
Buat kali ini saya sertakan beberapa keping gambar yang masih dalam simpanan saya. Diharapkan kalau ada sesiapa yang mengenali sesaorang dalam gambar tersebut komenlah sikit ye.

Saya menyeru kepada sesiapa sahaja yang mengenali saya dapatlah kiranya berhubung dengan menjadikan blog ini sebagai pemulanya.