Photos To Share With Friends Around The World

Sunday, August 23, 2009

Buah tamar untuk hidangan ketika berbuka puasa.


Ramadhan datang lagi dan bagi umat Islam yang masih diberi kesempatan untuk hidup dan beribadah di bulan ini seharusnyalah mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah. Ini adalah kerana tidak semua orang berkesempatan untuk menikmati bulan yang penuh berkat ini. Selamat Berpuasa saya ucapkan kepada semua yang beragama Islam diseluruh dunia. Semoga Ramadhan tahun ini akan menambahkan lagi kualiti baik kepada diri kita semua.
Mengambil sempena Bulan Puasa ini saya selalu teringatkan beberapa peristiwa nostalgik yang telah saya alami ketika zaman kanak-kanak/remaja. Setiap kali datangnya Bulan Puasa saya dan rakan-rakan sebaya saya biasanya diberikan beberapa tugas khas oleh keluarga masing-masing. Antaranya ialah mengejutkan jiran-jiran sekampung untuk bangun makan sahur. Pada ketika itu letrik belum ada. Yang ada hanya pelita atau lampu suluh. Selalunya pukul 3 atau 4 pagi maka bermulalah tugas mengetuk pintu jiran-jiran jika masa itu tidak kelihatan lampu/cahaya yang menunjukkan penghuni tersebut sudah bangun untuk bersahur. Bila waktu petang pula saya ditugaskan untuk membeli air batu (ais). Pada masa itu peti sejuk belum ada sebab letrik pun belum ada. Jauhnya tempat membeli ais lebih kurang 1 kilometer dari rumah. Saya akan mengayuh basikal kesana. Bila sampai kena beratur panjang. Kadangkala kalau nasib tidak baik apabila sampai ke giliran saya ais dah habis. Kenalah cari tempat lain pula. Setiap satu blok ais yang panjangnya lebih kurang 2 kaki harganya 50 sen. Kalau hendak setengah kenalah sipenjual ais menggergaji ais itu jadi pendek. Seronoknya bila dah dapat ais lalu diikatkan ditempat duduk belakang basikal. Apa yang lucunya , ada masanya terpaksa pergi jauh untuk mendapatkan ais tapi apabila sampai dirumah ais dah jadi kecil kerana cair disepanjang jalan.

0 comments: