Photos To Share With Friends Around The World

Sunday, August 23, 2009

Buah tamar untuk hidangan ketika berbuka puasa.


Ramadhan datang lagi dan bagi umat Islam yang masih diberi kesempatan untuk hidup dan beribadah di bulan ini seharusnyalah mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah. Ini adalah kerana tidak semua orang berkesempatan untuk menikmati bulan yang penuh berkat ini. Selamat Berpuasa saya ucapkan kepada semua yang beragama Islam diseluruh dunia. Semoga Ramadhan tahun ini akan menambahkan lagi kualiti baik kepada diri kita semua.
Mengambil sempena Bulan Puasa ini saya selalu teringatkan beberapa peristiwa nostalgik yang telah saya alami ketika zaman kanak-kanak/remaja. Setiap kali datangnya Bulan Puasa saya dan rakan-rakan sebaya saya biasanya diberikan beberapa tugas khas oleh keluarga masing-masing. Antaranya ialah mengejutkan jiran-jiran sekampung untuk bangun makan sahur. Pada ketika itu letrik belum ada. Yang ada hanya pelita atau lampu suluh. Selalunya pukul 3 atau 4 pagi maka bermulalah tugas mengetuk pintu jiran-jiran jika masa itu tidak kelihatan lampu/cahaya yang menunjukkan penghuni tersebut sudah bangun untuk bersahur. Bila waktu petang pula saya ditugaskan untuk membeli air batu (ais). Pada masa itu peti sejuk belum ada sebab letrik pun belum ada. Jauhnya tempat membeli ais lebih kurang 1 kilometer dari rumah. Saya akan mengayuh basikal kesana. Bila sampai kena beratur panjang. Kadangkala kalau nasib tidak baik apabila sampai ke giliran saya ais dah habis. Kenalah cari tempat lain pula. Setiap satu blok ais yang panjangnya lebih kurang 2 kaki harganya 50 sen. Kalau hendak setengah kenalah sipenjual ais menggergaji ais itu jadi pendek. Seronoknya bila dah dapat ais lalu diikatkan ditempat duduk belakang basikal. Apa yang lucunya , ada masanya terpaksa pergi jauh untuk mendapatkan ais tapi apabila sampai dirumah ais dah jadi kecil kerana cair disepanjang jalan.

Sunday, August 16, 2009

Mohd. Noh Bin Mohd. Alwi salah seorang sahabat saya yang dari dulu hingga kini tetap berhubung walaupun ada seketika kami terputus hubungan selama beberapa tahun. Setiap kali Hari Raya , dan kalau saya balik ke kampung di Felda Bukit Permai beliau tetap tidak lupa datang kerumah. Kami merupakan rakan sekampung dan sama sekolah semasa di sekolah rendah dan sekolah menengah. Sungguhpun beliau 2 tahun lebih muda dari saya dan beliau belajar di Aliran Melayu semasa disekolah namun kami agak akrab dalam banyak aktiviti sekolah. Aktiviti kegemaran kami ..Pasukan Pengakap dan tahap tertinggi kami adalah Pengakap Kelana Sekolah. Saya masih ingat lagi kerja gila yang pernah kami lakukan. Demi untuk mendapatkan anugerah pengembaraan pengakap kami pernah berjalan kaki melalui 'rel kereta api' dari pekan Rengam ke Layang-Layang. Esoknya dengan bangganya kami laporkan kepada cikgu pengakap tentang 'adventure' yang telah kami buat namun bukan pujian yang kami dapat tapi kemarahan kerana membahayakan diri kami.. lucu juga bila diingatkan.

Beliau kini bertugas dengan Pasukan Polis Diraja Malaysia di Bagan Serai, Perak. Sesekali beliau akan menghubungi saya melalui telefon. Pada jamuan Hari Raya tahun lalu (2008) beliau bersama keluarga telah datang kerumah saya di Ipoh. Oleh kerana tiada gambar 'still photo' dalam simpanan saya disini saya paparkan sedikit petikan gambar video tersebut. Semoga perhubungan akan tetap kekal selamanya. Kepada sesiapa yang mengenali beliau dan mahu berhubung semula bolehlah mendapatkannya daripada saya di alamat e-mail diatas.

Saturday, August 15, 2009


Saya telah memasuki sekolah ini pada tahun 1972 dan ditempatkan di kelas 'Remove B'.
'Remove Class' pada masa itu adalah merupakan kelas peralihan bagi murid-murid dari sekolah bukan Aliran Inggeris ke Aliran Inggeris. Saya masih ingat lagi sebelum saya ditawarkan untuk memasuki kelas ini (semasa darjah 6 - Sekolah Rendah Kebangsaan Felda Bukit Permai) ayah saya telah dipanggil ke sekolah oleh guru besar untuk di lobi agar setuju untuk memasukkan saya ke sekolah Aliran Inggeris. Sebenarnya saya yang meminta cikgu memanggil ayah saya ke sekolah. Pada masa itu matapelajaran seperti Matematik, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia dan Fizik serta Bahasa Inggeris diajar dalam bahasa Inggeris manakala yang lain dalam Bahasa Malaysia.
Salah seorang guru yang paling saya ingat semasa di kelas Remove B ialah Mrs Ang. Guru Bahasa Inggeris yang paling garang. Saya pernah bertemu beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang sekitar tahun 1993 ketika itu saya bertugas di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang disana dan beliau baru pulang dari luar negara dan telah memasuki lorong pemeriksaan kastam dimana saya bertugas. Beliau amat terkejut kerana saya masih dapat mengecam beliau walaupun telah begitu lama tidak bertemu.
Gambar kali ini adalah sumbangan dari Brother Jimmy Ho Kek Seng (TQ Bro) yang telah menghantar gambar tersebut ke e-mail saya. Melihat kepada gambar tersebut, tidak banyak yang berubah. Paling mencuit kenangan ialah gambar kantin sekolah. Masih terbayang bagaimana murid-murid sesi sekolah petang akan berkumpul disitu sementara menunggu sesi pagi pulang. Semasa rehat saya selalu berbaris panjang untuk membeli bubur kacang atau mi goreng kegemaran saya. Lorong berbumbung untuk ke kantin banyak membawa kenangan manis kepada saya.

Saturday, August 8, 2009

Sepanjang minggu ini saya agak sibuk dengan tugas dipejabat. Namun saya mengambil peluang cuti minggu ini untuk menulis sedikit mengenai seorang sahabat lama yang memang telah lama saya cari. Setakat ini berbagai maklumat yang saya terima tapi masih belum meyakinkan. Saya amat berharap sekiranya ada diantara pengunjung blog saya ini mengetahui mengenai beliau tolong sampaikan kepada saya. Tumpang Bin Nasir merupakan salah seorang sahabat yang paling karib ketika kami bersekolah dulu. Saya mengenali keluarga beliau. Namun kini telah terputus hubungan. Kali terakhir saya cuba mencari beliau kira-kira 10 tahun lalu dengan mengunjungi rumah keluarga beliau di Bandar Kejora. Ketika itu saya dimaklumkan beliau telah ke Amerika Syarikat untuk menjalani Kursus sebagai Juruteknik Tentera Udara Diraja Malaysia. Ada beberapa keping gambar yang ditunjukkan kepada saya. Memang segak beruniform tentera. Memang sejak dulu lagi beliau merupakan salah seorang pelajar lelaki dikira 'handsome' dan jadi rebutan pelajar perempuan. Banyak sekali kenangan saya bersama beliau samada semasa sama-sama belajar atau semasa bergiat aktif didalam Persatuan Pengakap Sekolah. Saya pernah tinggal bersama keluarga beliau ketika di Ladang Ulu Remis, Layang-Layang, Johor. Selalunya semasa setiap kali hampir peperiksaan. Masih terbayang di benak saya bagaimana keluarga beliau melayani saya seperti anak mereka sendiri.


Maklumat terbaharu yang saya terima adalah dari Brother Steven Foo Tze Chih. Beliau memberitahu mungkin Tumpang kini berada di Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut, Perak. Mana satu yang betul saya pun tak tahu tapi saya akan terus berusaha untuk menjejaki dan mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang beliau. Harapan saya agar teman-teman yang tahu mengenai beliau dapatlah menyalurkannya kepada saya. Semoga Allah memakbulkan doa saya untuk bertemu beliau suatu hari nanti.


*Terima kasih Brother Freddie Wong Yun Keong sekali lagi kerana bersusah payah mengirimkan kepada saya gambar ketika 'reunion 2007' saya akan uploadkan ke 'photobucket' tidak lama lagi.