Photos To Share With Friends Around The World

Saturday, November 7, 2009

Hampir lebih dari sebulan saya tidak dapat nak 'up-date' atau menghantar entry baru di blog ini. Ini disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Maaf saya pohon kepada teman-teman yang setia melayari blog saya ini. Antaranya yang dapat saya senaraikan sebab-sebabnya adalah:
- Rumah tempat tinggal saya sedang dibuat 'renovation'. Seluruh barang-barang dirumah saya terpaksa dikeluarkan dari rumah. Hanya yang tinggal ialah dapur dan satu bilik tidur yang terpaksa kami sekeluarga berkongsi bilik tersebut...macam sadin. Jadi tidak adalah kemudahan komputer.
-Jika alasan tiada komputer sebenarnya dipejabat pun boleh 'up-date'..tapi...tugas disepanjang bulan September, Oktober....dan sampai hari ini terlalu sibuk sekali. Lagi pun kurang elok menggunakan kemudahan pejabat untuk tujuan peribadi kan?
-Bila rumah sudah siap...sibuk pulak mengemas kembali perabot seisi rumah...wah..letihnya tidak terkira. Saya pun tak sabar hendak pasangkan komputer semula..tapi..komputer pulak buat hal. Entah kenapa monitor buat meragam.
Entry kali ini pun saya pinjam komputer kawan. Harapan saya agar teman-teman semua memahami....sorry yaaaa..

Sunday, September 27, 2009


Ejaan manakah yang betul? Sejak dari dulu lagi saya selalu keliru dengan ejaan bagi nama pekan ini. Namun bagi saya 'Renggam' lebih sesuai kalau berdasarkan sebutan yang diamalkan oleh penduduk tempatan. Jika 'Rengam' sebutannya akan jadi pelik. 'Re' dan 'ngam' jadinya Re..ngam. Ejaan 'Reng dan gam jadinya Renggam lebih tepat. Tahukah anda apa dan dari mana perkataan 'Renggam'? Maklumat yang saya dapat menyatakan letusan Gunung Berapi Krakatua pada tahun 1950 telah mewujudkan penempatan baru disekitar daerah Kluang selatan. Sebuah bukit telah terbelah dua dan menjadi renggang yang masih boleh dilihat sehingga kehari ini. Peristiwa 'renggang'nya bukit itu menjadi sebutan ramai. Sebutan 'Renggang' lama kelamaan telah menjadi 'Renggam'.
Bagi yang belum pernah sampai disini, pekan ini terletak di tengah-tengah Negeri Johor Darul Takzim. Semasa zaman persekolahan saya dulu, satu-satunya sekolah menengah yang terdekat dengan tempat tinggal saya di Felda Bukit Permai, Layang-Layang, Johor ialah Sekolah Menengah Dato' Haji Hassan Yunos, Renggam. Jaraknya dari rumah saya lebih kurang 17 batu jauhnya. Setiap hari untuk pergi kesekolah kami kena naik bas awal pagi dengan bas Pak Haji Rahman. Keadaan jalanraya dari Pekan Layang-Layang ke Rengam belum bertar lagi. Berdebu sepanjang jalan. Baju sekolah yang putih jadi kuning dalam masa sehari sahaja terutama dibahagian tengkok baju. Kalau ada sesiapa yang masih ingat lagi, salah satu 'trend' bagi murid yang kuat menjaga kebersihan baju sekolah ialah dengan memakai sapu tangan yang dilipat dan dilapekkan dibahagian tengkok baju. Saya pun kadang-kadang buat juga. Sebabnya dulu-dulu, cikgu bila buat pemeriksaan kebersihan baju sekolah suka tengok dibahagian tengkok. Kini keadaan telah berubah. Jalanraya sudah bertar dan agak selesa bagi pengguna jalanraya. Inilah nikmat kemajuan negara tercinta ini.
Salah satu 'spot' yang menjadi kenangan manis saya ialah Stesen Kereta api Rengam. Hampir setiap hari saya bersama kawan-kawan akan melintasi rel kereta api melalui jalan pintas untuk ke stesen ini. Bukan untuk apa cuma nak pergi makan mee goreng kegemaran saya. Masih terbayang lagi wajah makcik yang jual mee tapi namanya dah lupa.
Satu lagi 'spot' yang selalu saya ingat ialah ditempat menunggu bas dari Rengam ke Layang-Layang. Tempatnya ditepi sungai berdekatan dengan Stesen Bas Rengam/Kluang. Bukannya ada bumbung tapi cuma dibawah pokok. Kadangkala sampai berjam-jam baru dapat bas. Kadang-kadang pula bila bas sampai tapi sudah penuh maka kenalah tunggu 'trip' yang satu lagi. Kini saya lihat perkhidmatan bas agak kurang digunakan kerana kebanyakan orang sudah mampu membeli kenderaan sendiri walaupun kenderaan kecil.

Wednesday, September 23, 2009

Click picture to enlarge

Setelah mendapat nombor telefon yang baru dari Wong Sow Jee melalui e-mail, saya terus menghubungi beliau walaupun dah agak lewat malam hampir jam 11.00 malam. Tak sabar sebab sebelum ini saya sudah cuba menghubungi beliau sebanyak 2 kali tapi tidak berjawab. Beliau berjanji esok akan datang kerumah saya untuk menghantar sekeping CD yang mengandungi gambar-gambar Reunion 2009.
Wong Sow Jee kini adalah seorang guru yang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Choy, Ipoh. Beliau telah menetap di Ipoh sejak 1983. Menurut beliau setelah tamat kursus perguruan di Ipoh, beliau telah ditugaskan di Johor namun setelah berkahwin beliau bertukar ke Ipoh kerana mengikut suami.
Semasa disekolah dulu kami sentiasa belajar dalam kelas yang sama dari Remove Class hinggalah ke Form 5.Click picture to enlarge

Setelah hampir 32 tahun tidak berjumpa akhirnya pada jam 12.45 tengahari beliau tiba dirumah saya. Kebetulan hari ini (Raya ke 4) saya masih bercuti tapi isteri saya sudah mula bertugas hari ini. Kami berbual panjang hampir 2 jam. Sambil berbual, saya mengambil peluang menayangkan gambar-gambar Reunion yang ada untuk mendapatkan banyak lagi nama-nama bagi dikenalpasti. Banyak jugalah gambar yang telah berjaya dikenalpasti oleh kami. Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Wong Sow Jee yang telah bersusah payah datang kerumah saya. Kesanggupan beliau bertemu menandakan beliau seorang yang menghargai kenangan dan menghargai persahabatan. Sempatlah juga beliau bergambar bersama saya dan salah seorang anak saya serta juga bersama isteri saya.

Tuesday, September 22, 2009



Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada sesiapa juga yang melayari blog saya ini. Semoga Allah memberkati kita semua. Tahun ini saya tidak bercuti panjang atas beberapa sebab. Niat dihati ingin balik kekampung di Johor dan bertemu dengan seberapa ramai mungkin kenalan saya. Namun berhari raya di kampung isteri saya di Jitra Kedah juga tidak kurang meriahnya. InsyaAllah tahun hadapan kalau dipanjangkan umur saya akan berhari raya di Johor pulak.Click picture to enlarge

Pada Hari Raya ketiga kami dah balik ke Ipoh kerana ada saudara mara yang hendak beraya dirumah kami. Petang itu sempatlah juga kami ke Cameron Highlands untuk menikmati strawberry kegemaran keluarga saya. Sedap hingga menjilat jari oooo00.

Sunday, September 6, 2009

Setelah beberapa hari saya tidak membuka e-mail saya pada petang 27 Ogos 2009 saya dikejutkan dengan satu e-mail dari seorang hamba Allah. Beliau mengatakan telah dengan tidak sengaja melayari laman blog saya ini dan telah mengenalpasti serta mengenali salah seorang yang ada dalam gambar yang dipaparkan. Orang itu adalah Mohd. Sapuan Bin Poniran yang berasal dari Kampung Baru Simpang Rengam, Johor. Click picture to enlarge

Alamat e-mail untuk saya hubungi juga disertakan. Terima kasih atas budi jasa yang telah diberikan kepada saya. Hanya Allah yang dapat membalasnya. Mulanya saya sangka hamba Allah ini mungkin yang saya kenal tapi beliau kata tidak mengenali saya..
Pada petang 6 September 2009 Mohd. Sapuan Bin Poniran telah menelefon saya. Kami bersembang agak panjang lebar. Rasanya lebih dari setengah jam. Tidak dapat digambarkan betapa gembiranya saya dapat berbual dengan beliau. Sebenarnya dulu, sekitar tahun 1982-1984 kami sering juga berhubungan melalui telefon. Ketika itu saya bertugas di Pulau Pinang. Namun maklumlah dulu kemudahan handphone belum ada. Lama-kelamaan kami terputus hubungan.
Petang itu juga beliau telah menghantarkan gambar bersama keluarga kepada e-mail saya. Mohd. Sapuan Bin Poniran kini bertugas sebagai Pegawai Teknik (Technical Officer) di Unit Business Support & Quality Management di Telekom Malaysia Berhad di Bukit Timbalan Johor Bahru, Johor. Semoga kali ini hubungan tidak akan putus lagi..InsyaAllah.

Saturday, September 5, 2009

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia yang ke 52 kepada seluruh rakyat Malaysia dimana jua anda berada. Semoga rakyat Malaysia terus makmur dan bersatupadu. Seperti tahun-tahun sebelumnya saya memang tidak terlepas dari mengendalikan pasukan kawad jabatan setiap kali tiba hari sambutan kemerdekaan negara. Bezanya tahun ini tidak diadakan pertandingan kawad. Hanya perbarisan statik sahaja. Namun bagi saya itu sudah memadai dan tidak melunturkan perasaan bangga dan semangat patriotisme menjadi rakyat Malaysia. Masih belum terlewat rasanya bagi saya mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia.
Bertepatan dengan tajuk blog ini ...nostalgia, kali ini saya nak cerita sikit tentang pengalaman saya semasa kecil menyambut hari merdeka. Saya masih ingat lagi semasa itu saya bersama keluarga tinggal di Bukit Badak Estate, Layang-Layang, Johor sebelum kami berpindah ke Felda Bukit Permai.
Seingat saya salah satu acara tahunan yang mesti diadakan adalah acara sukan keluarga. Acara yang paling saya ingat dan amat popular ketika itu ialah acara panjat tiang licin. Dipuncak tiang licin itu dipacakkan satu bendera Malaysia kecil dan diikat bersama hadiah (selalunya duit) kepada pemenang yang berjaya mencapai puncak tiang licin tersebut. Seronok sungguh melihat keletah para peserta yang berlumuran minyak 'grease' ditubuh badan mereka. Malangnya sekarang ini sudah tidak pernah dilihat oleh generasi baru. Rasanya elok kalau dipopularkan semula.

Satu lagi pertandingan yang mencuit hati saya ialah pertandingan makan roti canai. Pemenangnya adalah yang paling banyak makan roti canai. Apa yang lucunya semasa makan roti canai tidak dibenarkan minum air. Apabila tamat saja pertandingan, masing-masing mencari air minuman. Apalagi..sejurus selepas minum air...roti canai yang ada didalam perut mula kembang..barulah terasa sendat perut masing-masing. Yang kelakarnya ada yang sampai pengsan!
Saya juga terkenangkan makanan yang selalu dijual di Hari Kemerdekaan. Antara makanan yang paling popular dijual ialah 'gula kapas' dan juga sargon.
Kalau tidak dibelikan gula kapas oleh ayah, boleh membuatkan saya mengamuk dan merengek sepanjang hari. Sememangnya kenangan semasa kanak-kanak amat manis untuk dikenang sepanjang hayat.

Sunday, August 23, 2009

Buah tamar untuk hidangan ketika berbuka puasa.


Ramadhan datang lagi dan bagi umat Islam yang masih diberi kesempatan untuk hidup dan beribadah di bulan ini seharusnyalah mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah. Ini adalah kerana tidak semua orang berkesempatan untuk menikmati bulan yang penuh berkat ini. Selamat Berpuasa saya ucapkan kepada semua yang beragama Islam diseluruh dunia. Semoga Ramadhan tahun ini akan menambahkan lagi kualiti baik kepada diri kita semua.
Mengambil sempena Bulan Puasa ini saya selalu teringatkan beberapa peristiwa nostalgik yang telah saya alami ketika zaman kanak-kanak/remaja. Setiap kali datangnya Bulan Puasa saya dan rakan-rakan sebaya saya biasanya diberikan beberapa tugas khas oleh keluarga masing-masing. Antaranya ialah mengejutkan jiran-jiran sekampung untuk bangun makan sahur. Pada ketika itu letrik belum ada. Yang ada hanya pelita atau lampu suluh. Selalunya pukul 3 atau 4 pagi maka bermulalah tugas mengetuk pintu jiran-jiran jika masa itu tidak kelihatan lampu/cahaya yang menunjukkan penghuni tersebut sudah bangun untuk bersahur. Bila waktu petang pula saya ditugaskan untuk membeli air batu (ais). Pada masa itu peti sejuk belum ada sebab letrik pun belum ada. Jauhnya tempat membeli ais lebih kurang 1 kilometer dari rumah. Saya akan mengayuh basikal kesana. Bila sampai kena beratur panjang. Kadangkala kalau nasib tidak baik apabila sampai ke giliran saya ais dah habis. Kenalah cari tempat lain pula. Setiap satu blok ais yang panjangnya lebih kurang 2 kaki harganya 50 sen. Kalau hendak setengah kenalah sipenjual ais menggergaji ais itu jadi pendek. Seronoknya bila dah dapat ais lalu diikatkan ditempat duduk belakang basikal. Apa yang lucunya , ada masanya terpaksa pergi jauh untuk mendapatkan ais tapi apabila sampai dirumah ais dah jadi kecil kerana cair disepanjang jalan.

Sunday, August 16, 2009

Mohd. Noh Bin Mohd. Alwi salah seorang sahabat saya yang dari dulu hingga kini tetap berhubung walaupun ada seketika kami terputus hubungan selama beberapa tahun. Setiap kali Hari Raya , dan kalau saya balik ke kampung di Felda Bukit Permai beliau tetap tidak lupa datang kerumah. Kami merupakan rakan sekampung dan sama sekolah semasa di sekolah rendah dan sekolah menengah. Sungguhpun beliau 2 tahun lebih muda dari saya dan beliau belajar di Aliran Melayu semasa disekolah namun kami agak akrab dalam banyak aktiviti sekolah. Aktiviti kegemaran kami ..Pasukan Pengakap dan tahap tertinggi kami adalah Pengakap Kelana Sekolah. Saya masih ingat lagi kerja gila yang pernah kami lakukan. Demi untuk mendapatkan anugerah pengembaraan pengakap kami pernah berjalan kaki melalui 'rel kereta api' dari pekan Rengam ke Layang-Layang. Esoknya dengan bangganya kami laporkan kepada cikgu pengakap tentang 'adventure' yang telah kami buat namun bukan pujian yang kami dapat tapi kemarahan kerana membahayakan diri kami.. lucu juga bila diingatkan.

Beliau kini bertugas dengan Pasukan Polis Diraja Malaysia di Bagan Serai, Perak. Sesekali beliau akan menghubungi saya melalui telefon. Pada jamuan Hari Raya tahun lalu (2008) beliau bersama keluarga telah datang kerumah saya di Ipoh. Oleh kerana tiada gambar 'still photo' dalam simpanan saya disini saya paparkan sedikit petikan gambar video tersebut. Semoga perhubungan akan tetap kekal selamanya. Kepada sesiapa yang mengenali beliau dan mahu berhubung semula bolehlah mendapatkannya daripada saya di alamat e-mail diatas.

video

Saturday, August 15, 2009


Saya telah memasuki sekolah ini pada tahun 1972 dan ditempatkan di kelas 'Remove B'.
'Remove Class' pada masa itu adalah merupakan kelas peralihan bagi murid-murid dari sekolah bukan Aliran Inggeris ke Aliran Inggeris. Saya masih ingat lagi sebelum saya ditawarkan untuk memasuki kelas ini (semasa darjah 6 - Sekolah Rendah Kebangsaan Felda Bukit Permai) ayah saya telah dipanggil ke sekolah oleh guru besar untuk di lobi agar setuju untuk memasukkan saya ke sekolah Aliran Inggeris. Sebenarnya saya yang meminta cikgu memanggil ayah saya ke sekolah. Pada masa itu matapelajaran seperti Matematik, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia dan Fizik serta Bahasa Inggeris diajar dalam bahasa Inggeris manakala yang lain dalam Bahasa Malaysia.
Salah seorang guru yang paling saya ingat semasa di kelas Remove B ialah Mrs Ang. Guru Bahasa Inggeris yang paling garang. Saya pernah bertemu beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang sekitar tahun 1993 ketika itu saya bertugas di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang disana dan beliau baru pulang dari luar negara dan telah memasuki lorong pemeriksaan kastam dimana saya bertugas. Beliau amat terkejut kerana saya masih dapat mengecam beliau walaupun telah begitu lama tidak bertemu.
Gambar kali ini adalah sumbangan dari Brother Jimmy Ho Kek Seng (TQ Bro) yang telah menghantar gambar tersebut ke e-mail saya. Melihat kepada gambar tersebut, tidak banyak yang berubah. Paling mencuit kenangan ialah gambar kantin sekolah. Masih terbayang bagaimana murid-murid sesi sekolah petang akan berkumpul disitu sementara menunggu sesi pagi pulang. Semasa rehat saya selalu berbaris panjang untuk membeli bubur kacang atau mi goreng kegemaran saya. Lorong berbumbung untuk ke kantin banyak membawa kenangan manis kepada saya.

Saturday, August 8, 2009

Sepanjang minggu ini saya agak sibuk dengan tugas dipejabat. Namun saya mengambil peluang cuti minggu ini untuk menulis sedikit mengenai seorang sahabat lama yang memang telah lama saya cari. Setakat ini berbagai maklumat yang saya terima tapi masih belum meyakinkan. Saya amat berharap sekiranya ada diantara pengunjung blog saya ini mengetahui mengenai beliau tolong sampaikan kepada saya. Tumpang Bin Nasir merupakan salah seorang sahabat yang paling karib ketika kami bersekolah dulu. Saya mengenali keluarga beliau. Namun kini telah terputus hubungan. Kali terakhir saya cuba mencari beliau kira-kira 10 tahun lalu dengan mengunjungi rumah keluarga beliau di Bandar Kejora. Ketika itu saya dimaklumkan beliau telah ke Amerika Syarikat untuk menjalani Kursus sebagai Juruteknik Tentera Udara Diraja Malaysia. Ada beberapa keping gambar yang ditunjukkan kepada saya. Memang segak beruniform tentera. Memang sejak dulu lagi beliau merupakan salah seorang pelajar lelaki dikira 'handsome' dan jadi rebutan pelajar perempuan. Banyak sekali kenangan saya bersama beliau samada semasa sama-sama belajar atau semasa bergiat aktif didalam Persatuan Pengakap Sekolah. Saya pernah tinggal bersama keluarga beliau ketika di Ladang Ulu Remis, Layang-Layang, Johor. Selalunya semasa setiap kali hampir peperiksaan. Masih terbayang di benak saya bagaimana keluarga beliau melayani saya seperti anak mereka sendiri.


Maklumat terbaharu yang saya terima adalah dari Brother Steven Foo Tze Chih. Beliau memberitahu mungkin Tumpang kini berada di Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut, Perak. Mana satu yang betul saya pun tak tahu tapi saya akan terus berusaha untuk menjejaki dan mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang beliau. Harapan saya agar teman-teman yang tahu mengenai beliau dapatlah menyalurkannya kepada saya. Semoga Allah memakbulkan doa saya untuk bertemu beliau suatu hari nanti.


*Terima kasih Brother Freddie Wong Yun Keong sekali lagi kerana bersusah payah mengirimkan kepada saya gambar ketika 'reunion 2007' saya akan uploadkan ke 'photobucket' tidak lama lagi.

Friday, July 24, 2009

Click the picture to enlarge

Walaupun kami pernah belajar dalam kelas yang sama semasa di Form 5 A (1977), tapi rasanya jarang benar saya bercakap atau bertegur sapa dengan individu ini. Sebagai seorang 'prefect' beliau agak serius orangnya. Namun beliau adalah diantara murid-murid perempuan yang dianggap mungkin menjadi rebutan murid-murid lelaki. Sentiasa berpakaian kemas, cantik dan sangat aktif.
Amelia Wong Ah Eng kini menetap di Singapura sejak 20 tahun lalu kerana mengikuti suaminya disana. Dalam e-mailnya beliau mengatakan sebelum ini beliau menganggap dirinya 'The Queen of Daughters' sebab beliau ada 3 anak perempuan (cute girls) . Rupanya saya adalah 'The King of Daughters' (ini saya yang kata) sebab saya ada 6 anak perempuan. Setelah 2 kali beliau menghadiri 'Reunion' katanya belum jumpa saya lagi. Sebenarnya saya baru saja dapat dikesan bulan Jun lalu oleh Brother Freddie Wong Yun Keong. Bermula dari itulah saya membina blog ini.
Beliau kini full time housewife dan full time chauffeur. Apa pun yang Amelia lalukan saya mengharapkan agar gembira selalu bersama keluarga tercinta.

Tuesday, July 21, 2009

Hari ini, pada entry kali ini saya akan benar-benar membuat tekaan. Samada betul atau tidak saya tidak peduli. Sememangnya setelah hampir 30 tahun dan dalam usia sebegini (setengah abad), ingatan kita amat lemah sekali. Salah seorang teman lama yang telah menghubungi saya ialah Brother Jimmy Ho Kek Seng. Kalau berdasarkan gambar kami pernah belajar dalam kelas yang sama semasa di Form 1 dan di Form 5 . Itu saja yang saya ingat. Tapi sedikit sangat yang saya tahu tentang beliau. Kalau mengikut maklumat yang saya dapat dari blog The Razzler , beliau kini berada di Johor Baharu, Johor. Sesekali saya mengikuti juga blog beliau di http://therazzler.blogspot.com. Seronok juga mengikuti berbagai isu yang beliau sentuh. I really like your blog..man. Cuma saya ingin memohon maaf sekiranya tekaan saya kali ini ternyata salah orang. But I'm very confident with my guess. Brother Jimmy Ho Kek Seng...please no heart feeling haaa...

Updated on 26 July 2009: Confirmed by Brother Mike Thu Jon Foo tekaan saya tepat sekali. Baru saya tahu yang Jimmy Ho Kek Seng adalah murid yang hanya minum susu dan tidak makan nasi....Sekarang macamana bro masih tak makan nasi ke?



More Babies To Make You Smile...


video

Saturday, July 18, 2009

Setelah mendapat nombor telefon dari Bro Thu Jon Foo pada 16 Julai 2009 yang lalu saya telah cuba menghubungi Brother Lee Yock Chin. Syukur kali ini saya berjaya. Walaupun ada sedikit gangguan talian semasa kami berbual dapat juga kami bercerita pendek. Beliau berjanji akan menghubungi saya melalui e-mail. Dalam mail beliau mengatakan bahawa kenangan semasa di SMDHHY, Rengam adalah kenangan manis yang tidak mungkin dapat dilupakan. Sebenarnya begitu juga bagi saya. Banyak kenangan pahit manis yang ada disana. Sekali sekala bila saya balik ke kampung pun saya ambil peluang berkunjung ke sekolah tersebut. Menghayati 'spots' tertentu yang ada kenangan bagi saya.Click the picture to Enlarge

Sedikit maklumat untuk kita kongsi tentang Brother Lee Yock Chin...beliau kini seorang guru yang mengajar di Batu Pahat, Johor. Mempunyai 2 orang anak lelaki ( family planning ka brother?). Baru saya tahu yang "Reunion Gathering" telah diadakan sebanyak 4 kali. Yang pertama di Layang-Layang, Johor, kedua di Johor Baharu, ketiga di Simpang Rengam dan keempat juga di Simpang Rengam. Dengar ceritanya lepas ini akan dibuat di Kluang, Johor. Bila pula hendak buat di Ipoh? Saya amat berharap akan dapat menghadiri di "Reunion" yang akan datang.

Video ini saya tujukan kepada sesiapa saja yang bertugas sebagai GURU termasuk semua bekas guru saya yang pernah mengajar saya dahulu di SMDHHY, Rengam, Johor. Terima kasih cikgu.

video

Monday, July 13, 2009


Malam tadi saya banyak menggunakan masa lapang saya dengan memperbaiki 'Layout' blog ini. Sambil itu sempatlah juga menjengok-jengok ke mailbox saya. Manalah tahu kalau-kalau ada lagi teman lain yang masuk selain dari Freddie yang memang kerap masuk ke mailbox saya. Namun sehingga jam 11.00 malam tak ada seorang pun. Namun tengahari tadi bila saya meninjau kembali ada dua email masuk. Salah satunya datangnya dari seorang wanita yang bernama Premala. Katanya beliau telah pun melihat gambar yang saya publish di blog ini. Tekaan saya terhadap gambar semasa sekolah dengan gambar 'reunion 2008' yang saya bandingkan memang tepat. Setelah membaca email beliau saya amat terharu. Beliau kini seorang ibu tunggal yang telah kematian suami 9 tahun lalu. Apa yang membanggakan ialah kejayaan beliau membesarkan anak-anak beliau ( 2 sons). Kedua-duanya begitu berjaya dibidang pelajaran. Seorang sedang melanjutkan pelajaran di bidang Ekonomi di UUM dan seorang lagi di Singapura di bidang Aeronautical Engineering. Malah beliau sendiri seorang bekas kakitangan kerajaan yang bersara awal kini menjadi 'Senior Manager' di sebuah syarikat insurans. Syabas Premala. Saya percaya kawan-kawan lain juga kagum. Saya harap anda akan terus berjaya dan gembira selalu...

The Skating Babies.

video

Saturday, July 11, 2009

Sungguh pun setakat ini saya agak gembira kerana ada 'response' menggalakkan dari beberapa orang teman tapi sebenarnya masih ramai lagi yang saya cari untuk dihubungi. Kesibukan urusan hidup harian memanglah tidak dapat dinafikan salah satu halangannya. Saya memahami itu. Namun saya tetap seronok kerana telah dapat mengetahui sedikit sebanyak perkembangan kehidupan orang-orang yang pernah saya kenali dulu. Masih lagi seperti sebelum ini Brother Wong Yun Keong (Freddie) adalah yang paling aktif membantu saya membetulkan nama-nama yang telah tersilap label. Keep it up bro.. As for brother Thu Jon Foo please don't scratch you head anymore for you will end up BALD.

Click the picture to enlarge


Thank you very much Mr Freddie Wong Yun Keong......Still Available Maaa...


JUST FOR A SMILE.....RELAX LAH.....

video