Photos To Share With Friends Around The World

Saturday, September 5, 2009

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia yang ke 52 kepada seluruh rakyat Malaysia dimana jua anda berada. Semoga rakyat Malaysia terus makmur dan bersatupadu. Seperti tahun-tahun sebelumnya saya memang tidak terlepas dari mengendalikan pasukan kawad jabatan setiap kali tiba hari sambutan kemerdekaan negara. Bezanya tahun ini tidak diadakan pertandingan kawad. Hanya perbarisan statik sahaja. Namun bagi saya itu sudah memadai dan tidak melunturkan perasaan bangga dan semangat patriotisme menjadi rakyat Malaysia. Masih belum terlewat rasanya bagi saya mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia.
Bertepatan dengan tajuk blog ini ...nostalgia, kali ini saya nak cerita sikit tentang pengalaman saya semasa kecil menyambut hari merdeka. Saya masih ingat lagi semasa itu saya bersama keluarga tinggal di Bukit Badak Estate, Layang-Layang, Johor sebelum kami berpindah ke Felda Bukit Permai.
Seingat saya salah satu acara tahunan yang mesti diadakan adalah acara sukan keluarga. Acara yang paling saya ingat dan amat popular ketika itu ialah acara panjat tiang licin. Dipuncak tiang licin itu dipacakkan satu bendera Malaysia kecil dan diikat bersama hadiah (selalunya duit) kepada pemenang yang berjaya mencapai puncak tiang licin tersebut. Seronok sungguh melihat keletah para peserta yang berlumuran minyak 'grease' ditubuh badan mereka. Malangnya sekarang ini sudah tidak pernah dilihat oleh generasi baru. Rasanya elok kalau dipopularkan semula.

Satu lagi pertandingan yang mencuit hati saya ialah pertandingan makan roti canai. Pemenangnya adalah yang paling banyak makan roti canai. Apa yang lucunya semasa makan roti canai tidak dibenarkan minum air. Apabila tamat saja pertandingan, masing-masing mencari air minuman. Apalagi..sejurus selepas minum air...roti canai yang ada didalam perut mula kembang..barulah terasa sendat perut masing-masing. Yang kelakarnya ada yang sampai pengsan!
Saya juga terkenangkan makanan yang selalu dijual di Hari Kemerdekaan. Antara makanan yang paling popular dijual ialah 'gula kapas' dan juga sargon.
Kalau tidak dibelikan gula kapas oleh ayah, boleh membuatkan saya mengamuk dan merengek sepanjang hari. Sememangnya kenangan semasa kanak-kanak amat manis untuk dikenang sepanjang hayat.

1 comments:

LeaQistina said...

selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan malaysia yg ke-52... bangga menjadi anak malaysia... =)
Merdeka!!